Saturday 8 October 2011

RASULULLAH PEMIMPIN YANG TERAGUNG




Pengutusan Rasulullah s.a.w ke dunia merupakan satu rahmat kepada sekelian alam. Baginda bukan sahaja berperanan sebagai seorang rasul tetapi juga sebagai pemimpin negara, ketua keluarga, Imam, ketua angkatan tentera dan sebagainya.

Antara contoh yang boleh kita ambil daripada keperibadian Rasulullah s.a.w ini ialah ciri-ciri kepimpinan beliau yang unggul seperti berilmu dan bertakwa, amanah dan bertanggungjawab, adil dan tegas, sentiasa bertimbangrasa, mengutamakan kepentingan umum terlebih dahulu daripada kepentingan diri sendiri, hidup amat sederhana dan tidak bermewah-mewah.

Ciri-ciri kepimpinan sebeginilah yang menjadikan diri Baginda Rasulullah s.a.w dikasihi oleh Allah dan umatnya, malahan Baginda juga dihormati dan disegani oleh musuh-musuhnya.

Maka atas sebab-sebab ini lah, Allah Taala menggesa kita supaya mencontohi aklhlak dan keperibadian Rasulullah dalam diri kita. Firman Allah :

Yang bermaksud: Sesungguhnya terdapat bagi kamu pada diri Rasulullah s.a.w. (secara keseluruhannya) contoh yang terbaik, bagi mereka yang mengharapkan Allah s.w.t. dan hari akhirat, dan mengingati Allah dengan sebanyaknya. 
(Surah al-Ahzab, ayat 21)

Antara contoh kepimpinan baginda Rasulullah s.a.w yang boleh kita jadikan iktibar dalam kehidupan seharian kita ialah :

Pertama : Rasulullah s.a.w Sebagai Seorang Rasul
Sebagai seorang Rasul, baginda telah menunjukkan contoh yang terbaik dalam berdakwah kepada manusia yang seharusnya menjadi ikutan sekelian umat Islam.

Sifat kesabaran dan ketabahan baginda Ini kita dapat lihat dengan jelas dalam peristiwa dakwah Rasulullah s.a.w di Taif. Di mana Rasulullah telah dilontar dengan batu oleh puak bani Thaqif termasuk kanak-kanak, orang miskin dan juga hamba abdi.

Akan tetapi Rasulullah s.a.w tetap tabah dalam meneruskan dakwah nya dan tidak pernah putus asa menyeru manusia mengikuti perintah Allah.
Berkat sifat cekal dan tabah ini di samping sifat pemaaf baginda terhadap mereka yang pernah memusuhinya, akhirnya agama Islam berkembang sehingga ke seluruh dunia.

Tepat lah sebagaimana yang difirmankan oleh Allah dalam surah Ali Imran, ayat 159:
  
Ertinya : Maka Dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu Wahai Muhammad), Engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah Engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan Yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah Dengan mereka Dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu.

Kedua : Rasulullah s.a.w Sebagai Pemimpin Negara
Rasulullah s.a.w. menunjukkan banyak contoh teladan berhubung soal ini. Sebagai seorang Rasul dan pada masa yang sama sebagai seorang pemimpin dan juga ketua negara, baginda mengamalkan dan menghargai pendapat serta teguran orang-orang bawahan nya, dengan ini secara tidak langsung membuatkan baginda mudah didekati oleh sekelian manusia.

Sebagai ketua negara, baginda tidak segan untuk bergaul dengan rakyat biasa tanpa mengira status sama ada fakir miskin, kanak-kanak atau hamba, Baginda juga sedia memenuhi undangan para sahabat nya termasuk pembantu rumah. Bahkan dalam peperangan Khandak umpamanya, Baginda menyertai sahabat-sahabat untuk menggali parit sehingga tubuh Baginda penuh dengan debu dan tanah.

Beginilah yang sewajarnya keperibadian yang harus dicontohi sebagai seorang pemimpin, tidak kira sama ada sebagai pemimpin rakyat, ketua organisasi, syarikat dan sebagainya.

Bahkan Rasulullah mengajarkan kepada kita sebagai pemimpin, tugas kita bukan hanya memerintah sahaja, tetapi juga  adalah untuk berkhidmat kepada orang lain.
Ini telah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w dalam hadith baginda yang diriwayatkan oleh Ad-Dailami:


Yang bermaksud: Ketua sebuah kaum adalah yang sentiasa berkhidmat untuk mereka.

Ketiga   : Rasulullah s.a.w Sebagai Pemimpin Keluarga
Dalam kehidupan berumahtangga, Rasulullah s.a.w. telah memperlihatkan suatu teladan yang baik yang boleh diikuti oleh seseorang ketua keluarga dalam mengurus rumahtangganya.

Sebagai seorang suami, Rasulullah s.a.w. amat bertimbang rasa dan bersedia membantu keluarganya, banyak kerja yang dilakukan dengan tangannya sendiri, seperti menjahit pakaian, memerah susu kambing dan sebagainya. Baginda juga akan menjamu selera apa sahaja makanan yang telah tersedia.

Di samping itu, Rasulullah s.a.w. juga menunjukkan panduan dan contoh tentang hidup tolong menolong serta perasaan kasih sayang kepada isteri,
Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang berbunyi:

Yang maksudnya: Aisyah r.a. pernah ditanya seorang lelaki yang bernama Aswad tentang apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w ketika dalam rumahnya? Maka Aisyah menjawab: Rasulullah s.a.w sentiasa membantu ahli keluarganya dalam kerja rumah. Dan apabila sudah tiba masuk waktu solat, baginda keluar untuk solat.

Kewujudan Rasulullah s.a.w bukan setakat untuk beristirehat dan bermesra dengan ahli keluarganya sahaja. Bahkan, kewujudan baginda di rumahnya adalah juga untuk membantu isterinya menguruskan rumah tersebut. Ini baginda lakukan walaupun baginda mempunyai banyak tugasan di luar rumah.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekalian,
Demikianlah tadi sepintas lalu mengenai kepimpinan Rasulullah s.a.w untuk menjadi renungan dan iktibar bagi kita bersama. 


Maka renunglah, kita sebagai pemimpin rakyat, keluarga ataupun organisasi, perlu bertanya kepada diri kita sendiri, adakah kepimpinan kita selama ini bersesuaian sebagaimana yang diajarkan oleh baginda Rasulullah s.a.w ? Sedangkan setiap dari kita yang memperolehi kepimpinan akan dipertanggungjawabkan oleh Allah pada hari akhirat kelak.

Marilah sama-sama kita mengingati pesanan Rasulullah s.a.w dalam hadisnya yang mahsyur bermaksud :

"Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu sekalian akan ditanya perihal kepimpinan kamu. Seorang Imam (ketua) adalah pemimpin dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Seorang lelaki pemimpin keluarganya dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Isteri adalah pemimpin dalam rumahtangga suaminya dan dia akan ditanya mengenai tanggungjawab kepimpinannya. Seorang khadam atau pembantu rumah adalah pemimpin harta majikan dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Seorang anak adalah pemimpin harta bapanya dan dia bertanggungjawab mengenai kepimpinannya. Maka setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya mengenai kepimpinannya. "

1 comment:

  1. How To Withdraw at Casino Games | DrmCD
    Casino games are usually 보령 출장안마 done with the dealer's left side, 세종특별자치 출장안마 so in 충청북도 출장안마 order to 포항 출장마사지 make money with a casino you have to follow 경상북도 출장마사지 the player's left side

    ReplyDelete