Monday 31 October 2011

UMAR MUKHTAR : PEJUANG KEMERDEKAAN LIBYA

Umar Mukhtar adalah ‘Hero’ umat Islam, yang sememangnya pernah wujud. Bukan lagenda, bukan khayalan seperti filem Rambo. Bukan cerita The Last Samurai. Tetapi Umar Mukhtar sememangnya hero yang benar-benar wujud suatu ketika dahulu, menjadi pejuang Islam ketika itu. Hal ini dapat kita telusuri apabila kita melangkah sejenak ke tahun 1892, kita menyingkap sejarah tentang kelahiran seorang bayi serba dhaif di sebuah kampung pada zaman pemerintahan Khilafah Uthmaniyyah. Selepas ayahnya meninggal dunia pada usianya 16 tahun, anak muda ini diletakkan di bawah asuhan dan perhatian seorang syeikh (guru).
Berkat didikan syeikh tersebut, lama kelamaan beliau mula mengamalkan cara hidup Islamiyyah di mana beliau hanya tidur selama 3 jam setiap malam agar mudah bagi beliau untuk bangun solat pada sepertiga malam. 

Tidak cukup sekadar itu, beliau juga gemar membaca ayat-ayat suci Al Quran hingga fajar menyinsing. Walaupun menghadapi pelbagai kesukaran sepanjang hidupnya, beliau berjaya menghafaz Al Quran, dan mengulanginya dengan lengkap setiap tujuh hari. Keberanian dan kebijaksaan beliau memang dikenali di setiap pelusuk daerah. Malah, beliau menjadi ikutan dan contoh kepada orang ramai pada ketika itu. Bukti keistimewaan beliau terserlah pada ketika beliau berkafilah (berdagang) ke Sudan semasa beliau masih muda. Ditakdirkan Tuhan, seekor singa telah menghalang kumpulan kafilah-kafilah ini daripada memasuki satu laluan sehingga mereka terpaksa mengubah hala mereka kerana takut akan si singa tadi. Untuk menyelamatkan diri, ada yang terpaksa mengorbankan unta mereka sebagai percubaan terakhir untuk melepaskan diri, walaupun unta pada ketika itu merupakan salah satu harta yang berharga buat mereka.

Beliau yang mengetahui tentang ancaman singa berkenaan, lantas tampil untuk cuba meleraikan kekecohan. Tidak seperti kafilah-kafilah lain yang buntu mencari jalan penyelesaian, beliau tangkas menunggang kudanya bersama senapang beliau dan memburu singa tersebut. Sejurus kemudian, beliau mengejutkan kumpulan-kumpulan kafilah tadi apabila pulang dengan membawa kepala singa berkenaan. Mereka sangat bersyukur akan pengorbanan yang dilakukan beliau dan sejak dari itu lah beliau digelar ”Singa Cyrenaica”.

Dibesarkan dengan ajaran agama dan diserapkan dengan nilai-nilai keberanian seorang pahlawan, telah memberi impak yang hebat buat beliau. Akhlak dan karisma yang dimiliki bukan hanya memberi kesan pada kaum, negara dan bangsanya, malah kepada umat Islam sedunia selepas zaman penjajahan.

Apabila umur beliau menjangkau lingkungan 20-an, beliau semakin dikenali berikutan kematangan dan kehandalan beliau dalam menyelesaikan sesuatu masalah yang ditimbulkan suku bangsa beliau pada ketika itu. Pandangan serta nasihat beliau didengari oleh setiap penduduk kampung tidak kira di mana beliau berada. Kesopanan dan tata tertib yang dipamerkan dalam sikapnya yang disenangi ramai, memang cukup disegani. Kepetahan beliau tatkala berbicara, susunan ayat yang teratur, membuatkan orang ramai tertarik untuk mendengar ucapan mahupun ceramah yang disampaikan beliau. Keunikan inilah yang menjadi aset untuk beliau menyatukan puak-puak pada ketika itu di samping memudahkan usaha beliau untuk mengumpul kumpulan perang bagi melawan penjajah-penjajah yang datang untuk mengambil alih pemerintahan pada ketika itu.

Pada usia beliau 30-an, bermulalah zaman penjajahan yang mula berkembang ke seluruh pelusuk dunia. Fenomena ini telah membayangi kehidupan beliau untul tampil bertindak. Pada ketika dunia dirosakkan oleh anasir-anasir Eropah, beliau bangkit mempertahankan kedaulatan Islam dengan semangat kentalnya. Beliau bersama-sama dengan satu kumpulan bernama Banu Sanus, yang selepas itu dikenali dgn nama Sanusi, menentang penjajahan Perancis tanpa rasa takut walau sedikit pun. Mereka juga pernah menentang penjajah-penjajah Inggeris yang diselubungi rasa tamak dan haloba untuk menakluki tanah air mereka.

Apabila Itali bersekongkol dengan negara-negara Eropah yang lain dalam membuat kacau-bilau di hemisfera Selatan dengan menjajah Afrika Utara, beliau yang ketika itu sudah pun menjangkau usia 50-an, mula mengumpulkan pejuang-pejuang bagi menentang penjajahan di tanah air mereka, Libya. Itali yang mula resah akan tindakan berani beliau dan pengikut-pengikutnya, mula mengatur strategi dengan cuba untuk merasuah beliau agar menyerah diri, dan menerima tawaran mereka untuk mentadbir dengan jawatan tinggi dalam kerajaan, selain menjanjikan harta kekayaan buat beliau. 

Taktik kotor mereka ditolak mentah-mentah. Kata-kata beliau terhadap mereka ketika itu yang amat terkenal berbunyi, "Saya bukannya orang yang mudah dipengaruhi. Betapa kuat cabaran dan desakan mereka untuk mengubah pendapat dan kepercayaan saya, Allah tidak akan mengizinkannya".

Gagal dengan strategi pertama, Itali mula menggunakan taktir kotor kedua mereka dengan menggesa beliau supaya meninggalkan bandar kediamannya, dan berpindah ke bandar yang lain berhampiran dengan pusat pemerintahan kerajaan. Tidak cukup dengan itu, mereka juga cuba menawan hati beliau dengan menawarkan gaji bulanan yang tinggi supaya beliau akur dengan kehendak mereka. Walaubagaimanapun, sekali lagi usaha mereka gagal apabila beliau menolak dengan berkata, "Tidak! Aku sesekali tidak akan meninggalkan tanah airku sehinggalah tiba waktunya aku bertemu Tuhanku. Ajal adalah perkara yang paling hampir denganku berbanding yang lain. Aku menunggunya setiap waktu".

Keazaman dan kesungguhan beliau untuk menentang penjajahan walaupun pada usia 70-an telah berjaya membakar semangat bangsa dan kaum beliau untuk terus berjuang walaupun menderita. Beliau berikan mereka harapan dan keyakinan bagi menentang bala tentera penjajah yang jauh lebih ramai daripada pejuang-pejuang mereka sendiri. Di kala pihak penjajah dilengkapi alat-alat kelengkapan perang serba moden dan canggih, pejuang-pejuang ini tabah menahan lapar dan dahaga berbekalkan hanya senjata dan kuda-kuda mereka. Selepas kedudukannya kukuh, golongan Ummah mula mengelilinginya. Beliau berjaya menyerang bangsa Itali pada tempat kelemahan mereka. Beliau menyerang balas dengan tegas dan pantas terhadap golongan penjajah yang menyangka menguasai tanah orang Islam dan menindas mereka merupakan suatu kerja yang mudah.

Muhammad Az Zaway, seorang pahlawan yang dulunya pernah bersama beliau memerangi tentera Perancis, cuba memujuk beliau untuk berundur ke Mesir dengan pejuang-pejuang yang lain. Tetapi beliau enggan untuk menyerah kalah walaupun mengetahui bahawa peluang beliau semakin tipis untuk mengalahkan musuh yang boleh menghapuskan beliau dalam sekelip mata dek kerana bilangan mereka yang semakin bertambah dari semasa ke semasa.

Bila ditanya, mengapa beliau masih setia berjuang, beliau menyatakan yang beliau berjuang kerana agama dan beliau tidak sanggup untuk melihat pihak musuh menduduki tanah airnya. Beliau akan terus menentang dan menentang kezaliman, tidak kira sama ada menang atau kalah. Yang pasti, kejayaan datang hanya dari Allah Taala. Beliau juga menolak untuk mengadakan perundingan damai dengan pihak penjajah dengan menyatakan bahawa 'mereka tidak mempunyai apa-apa melainkan untuk melawan musuh-musuh Allah'.

Selepas mengharungi beberapa peperangan yang tidak terkira banyaknya, akhirnya beliau tewas juga di tangan musuh. Di akhir peperangan tersebut, tinggal hanya beliau serta salah seorang pengikut setianya yang masih teguh berdiri di medan perang. Pejuang yang dihormati ini percaya bahawa jihad adalah disyariatkan pada setiap umat Islam sekiranya tanah air mereka dikuasai penjajah. Dengan semangat yang berkobar di dalam jiwanya, di samping keberanian dan sifat kesungguhan yang tinggi, menyebabkan beliau dihormati dan disegani oleh sesiapa saja termasuklah musuh-musuh beliau sendiri.

Pegawai tentera yang menyoal siasat beliau berkata, "Apabila beliau tiba sampai ke pejabat saya, beliau kelihatan seperti seorang daripada beribu murabitin yang saya lihat di medan perang padang pasir. Tangan beliau dirantai. Tulangnya patah akibat perang tetapi beliau memaksa dirinya berjalan dalam keadaan derita kesakitan. Beliau tidak seperti tawanan lain yang biasa ditangkap sebelum ini. Beliau berdiri di dalam pejabat saya dan menjawab segala soalan yang kami kemukakan dengan suara yang tenang dan jelas. Apabila beliau mahu mula beredar, tampak mukanya yang kelihatan bercahaya membuat saya terpegun dan terkejut. Terketar bicara saya di akhir perbualan kami semasa saya mengarah beliau kembali ke sel penjaranya sebelum upacara pengadilan di mahkamah pada sebelah petangnya".

Golongan yang menyerah kalah dan para ilmuan yang telah berpihak kepada kerajaan Itali tidak dibunuh ataupun dipenjarakan. Mereka mati dalam keadaan biasa dan mugkin di dalam keadaan mewah dan selesa, di bawah perlindungan golongan penjajah Itali. Namun demikian, kematian mereka tidak membawa sebarang erti. Dan, Neraka Jahanam adalah tempat bagi mereka yang bersekongkol dengan golongan penjajah yang kafir. Umar Mukhtar hidup dan berjuang demi Islam sepanjang hayatnya. Beliau diikat, dipenjarakan, dan dihukum gantung. Namun, cerita keperwiraannya kekal berterusan, dan insyaAllah, Syurga adalah tempat bagi mereka yang syahid.

Umar Al Mukhtar terikat kepada Allah Taala, bergantung hidup padaNya, dan sentiasa menerima takdir Ilahi. Beliau telah meminta daripada Allah Taala untuk mati syahid, dan itulah yang telah beliau capai, InsyaAllah.

sumber: 

Friday 28 October 2011

Pesan Terakhir (Sajak oleh Syed Qutb)


Sahabat… 
Andainya kematian kau tangisi 
Pusara kau siram dengan air matamu 
Maka diatas tulang belulangku yang dah luluh 
Nyalakaniah obor untuk umat ini 
Dan 
Lanjutkanlah gerak merebut kemenangan 
Sahabat, 
Kematianku hanyalah suatu perjalanan 
Memenuhi panggilan kekasih yang merindu 
Taman-taman indah disyurga Tuhan 
Terhampar menanti 
Burung-burungnya berpesta menyambutku 
Dan berbahagialah hidupku di sana 
Sahabat, 
Puaka kegelapan pastikan lebur 
Fajarkan menyingsing 
Dan alam ini kan disinari cahaya lagi 
Relakan lah rohku terbang menjelang rindunya 
Jangan gentar berkelana ke alam abadi 
Di sana cahaya fajar memancar. 

Sayyid Qutub-1966

Wednesday 26 October 2011

KAU GELAR DIRI KAU PEJUANG?

Akulah Pejuang! Akulah Pejuang! Akulah Pejuang Islam!




Ramai yang menggelarkan menggelarkan dirinya pejuang islam. Adakah kita betul-betul pejuang islam?. Kalau kita betul-betul pejuang Islam, adakah kita berjaya berjuang menentang hawa nafsu kita. Adakah kita mempertingkatkan mujahadah dalam diri kita, mujahadah melawan hawa nafsu. Adakah kita laksanakan apa yang kita katakan?. Sama-sama kita muhasabah diri kita. 

  Dalam kehidupan seharian, Allah s.w.t menjadikan siang dan malam, cuba kita hitung selama 24 jam sehari berapa lama kita mengisi masa lapang kita dengan kerja, amal soleh, ibadah atau abdikan diri kepada Allah s.w.t. Banyak mana sumbanagan kita kepada agama Islam? Sehari-hari kehidupan kita banyak perkara yang melalaikan kita lakukan. Adakah kita ini layak digelar sebagai seorang pejuang?. Kalau kita tidak boleh jihad melawan hawa nafsu kita, tidak usahlah gelarkan diri kita sebagai seorang pejuang. Kalau kita lihat para pejuang islam yang telah banyak bergadai nyawa demi menegakkan kebenaran dan demi mencegah kemungkaran, mereka berja menjaga hubungan mereka dengan Allah s.w.t dan hubungan mereka dengan manusia. Kekuatan mereka adalah aqidah yang jelas dan amal ibadah hanyalah untuk Allah. Wahai manusia yang menggelarkan diri mereka pejuang Islam, sedarlah bahawa perjuangan atau JIHAD di jalan Allah itu bukan sesuatu perkara yang manis, bukan perkara yang senang, bukan perkara yang boleh diujarkan dengan kata-kata. Kita yang mengaku beriman kepada Allah dan Rasulullah s.a.w perlu melaksanakan segala perintah maha pencipta yang mencipta kita sebaik-baik kejadian. Sedar kamu wahai manusia yang menggelarkan diri kamu Pejuang Islam, dimana kamu berada semasa azan berkumandang? Di mana kamu semasa sang makhluk tengah nyenyak dibuai mimpi? Di manakah kamu semasa majlis-majlis ilmu sedang berlansung?. Bangkitlah wahai para pejuang Islam, sahutlah seruan JIHAD, berjihadlah kamu menentang hawa nafsu. Bangkitlah wahai para pejuang, dekatkanlah dirimu dengan Allah dan abdikan dirimu kepada penciptamu. Sesungguhnya kekuatanmu hak milik Allah bukan hak milikmu. Dia yang mengurniakn kekuatan itu kepadamu. Sedarlah wahai para pejuang Islam, jangan kamu menjadi seorang yang kufur akan nikmat yang Allah kurniakan kepadamu.



PEJUANG ISLAM.

Wahai pejuang Islam...
Bangkitlah kamu menyahut seruan JIHAD,
Bangkitlah wahai para pejuang Islam,
Bangkitlah menentang hawa nafsumu...
Kekuatanmu hanyalah dengan mendekatkan dirimumu dengan Sang Pencipta.

Wahai pejuang Islam...
Sahutlah seruan Ilahi,
Sahutlah seruan azan,
Bangkitlah di kala sang makhluk dibuai mimpi indah,
Bangkitlah dan bersujudlah kamu dikala  malam hari.

Wahai pejuang Islam...
BERJIHADlah kamu di jalan Allah,
Kibarkan panji-panji kebenaran,
Jatuhkan dan musnahkan kezaliman,
Bangkitlah, wahai para pejuang Islam.



BANGKITLAH WAHAI PEJUANG ISLAM! 
SUJUDLAH KAMU KEPADA ALLAH!
SAHUTLAH SERUAN JIHAD!
AYUH BANGKITLAH WAHAI PEJUANG ISLAM!

Sunday 23 October 2011

Zikrullah Itu Apa?


Shobahulkhair...
Selalu kita dengar ungkapan, "Basahi lidahmu dengan zikrullah"..."Zikir dapat menenangkan hati".... "Zikir menghapuskan dosa2 kecil", tetapi, berapa ramai antara kita yg berzikir dlm keadaan benar2 mengingati Allah? Berapa ramai yg berzikir hanya sekadar di bibir, tetapi tidak benar2 sampai dlm hatinya? Berapa ramai yg berzikir hny sekadar rutin selepas solat???  Berapa ramai yg melafazkan kalimah "Subhanallah" dlm keadaan hatinya benar2 meyakini KESUCIAN Allah? Berapa ramai yg melafazkan tahmid "Alhamdulillah" dlm keadaan jiwanya benar2 MENSYUKURI nikmat Allah atas segala nikmat & kurniaan hatta ujian yg dia dapat?? Berapa ramai yang melafazkan kalimah takbir "Allahuakbar'" dalam keadaan dirinya benar2 mengakui KEBESARAN dan KEKUASAAN Allah?Berapa ramai antara kita yang beristighfar dlm keadaan hati benar2 memohon keampunan dr Allah atas segala dosa2 yang kita lakukan di atas muka bumi Allah??? Berapa ramai yang melafazkan kalimah 'Lailahaillallah" dengan i'tikad yg benar2 yakin bahawa TIADA TUHAN SELAIN ALLAH??? Zikir kita hanya sekadar di bibir kah??? Balik semula pd makna sebenar zikir, 'MENGINGATI ALLAH...."


Drpd Anas bin Malik r.a, Rasulullah SAW bersabda :" Apabila kamu melalui taman syurga, maka ragutlah (perbanyakkanlah zikir utk mendapat ganjaran)." Para sahabat bertanya: "Apakah dia taman syurga?" Baginda menjawab : Kelompok-kelompok orang berzikir." 
(Riwayat Tarmizi)




Hebat dan khusyuknya zikir bukan pada seberapa lantang & kuat kita melafazkan zikir, bukan pada beribu2 kali kita melafazkan zikir tanpa menghayati maknanya....tetapi indahnya zikir bila dilafazkan benar-benar dr hati yg tulus mengingati Allah SWT...Berzikirlah dalam keadaan hati yg benar khusyuk & tawaduk mengingati Allah, menyesali dosa2 yg lalu!


Hasil tulisan seorang hamba Allah...

ADAB-ADAB USRAH.

Sepertimana yang kita tahu bahawasanya USRAH merupakan satu sunnah Rasulullah s.a.w. Adakah selama kita yang pernah menjalani dan pernah berpengalaman degan dunia usrah tahu akan adab-adab ketika kita berusrah dan adakah kita menjaganya, sedangkan usrah merupakan satu majlis ilmu yang pernah dijalankan oleh Rasullah s.a.w dan majlis yang diberkati Allah. Di bawah merupakan adab-adab usrah yang saya kongsikan. Baca, hayati dan amal adab-adab usrah ini semoga kita sentiasa berada dalam golongan yang bertaqwa kepada Allah s.w.t.


Adab-adab Usrah:


1. Mengikhlaskan niat semata-mata kerana Allah
   - Niat hadir ke usrah untuk mendapat ilmu dan perbaiki diri iaitu TARBIYYAH diri   kerana Allah taala.
  
  Allah taata berfirman:
  Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah Tuhan sekalian alam.


2. Datang ke tempat usrah tepat pada waktu yang dijanjikan.


3. Meminta izin untuk keluar masuk usrah serta memberi salam sebelum masuk usrah.


4. Dalam ke majlis usrah dalam keadaan berwudhuk, suci jiwa, dan bersih tubuh badan.


5. Datang ke majlis usrah dengan persiapan membawa keperluan yang diperlukan seperti al-Quran, teks usrah dan buku catatan.


6. Hadir usrah dengan hasrat mengukuhkan ukhuwwah Islamiyyah dan berazam untuk mendapatkan ilmu dan kefahaman Islam.


7. Sentiasa berusaha untuk merapatkan ukhuwwah antara ahli usrah.


8. Mendahului majlis dengan al-Fatihah, pujian dan syukur ke hadrat Allah s.w.t serta selawat ke atas Rasulullah s.a.w. Menutup majlis dengan bacaan surah Al-A'sr dan tasbih kaffarah denagn tadabur maknanya..


9. Jangan mengangkat suara yang tinggi melebihi keperluan, tidak   banyak ketawa, tidak banyak bergurau, dan tidak banyak bertengkar.


10. Berada dalam keadaan sopan-santun dan berbincang dengan baik dan sopan perkara yang dibangkitkan dan diutarakan.


11. Bersalaman dan bermaafan setelah selesai majlis

USRAH TUNJANG TARBIYYAH !



Thursday 20 October 2011

PERJUANGAN


JIHAD ITU INDAH !


Perjuangan atas muka bumi hak milik ALLAH ini tidak akan selesai selagi mana Islam tidak tertegak di atasnya. Ramai para mujahid, rijjal, jundi dan semua yang ingin memperjuangkan agama ALLAH s.w.t telah syahid dengan izin ALLAH s.w.t di medan peperangan. Halangan demi halangan terpaksa ditempuhi oleh mereka yang mahu menegakkan Islam. Mereka terus tabah dan cekal dan menempuhi segala halangan dengan meletakkan keyakinan tinggi kepada ALLAH s.w.t. Aqidah menjadi pegangan yang teguh dan membantu mereka dalam perjuangan. Bumi  Palestin, para ibu menunggu dengan tidak sabarnya untuk menyambut kelahiran anak-anak mereka kerana mahukan anak mereka berjuang mempertahankan bumi Palestin dan mereka mahu anak mereka syahid. Perjuangan ini yang mana bermula zaman para anbiya', seterusnya zaman Rasulullah dan diteruskan pada zaman para sahabat baginda dan sehingga kini tidak akan selesai selagi mana Islam tidak tertegak atas muka bumi ini. Bangkitlah! wahai pemuda-penuda beriman, kibarkanlah panji-panji kebenaran, sahutlah laungan kebesaran dan perintah maha pencipta. Jangan kita biarkan agama kita, agama Islam dinodai dengan pelbagai kemungkaran oleh golongan thaghut. Ayuh bangkitlah! jangan kita biarkan agama kita tercalar. Perjuangan kita tidak akan selesai sehingga titisan darah terakhir.  Tegakkan kebenaran dan hapuskan kemungkaran !


Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab) dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu. (at-Taubah: 41)




"Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya)." (Al-Hujuraat 49:15)


ISLAM dulu, kini, dan selamanya...selamatkan Islam!


Marilah sama-sama kita tegakkan kalimah ALLAH!



Wednesday 12 October 2011

Dakwah Fardiyah


Tips untuk keberkesanan Dakwah Fardiyah

1. Hendaklah bersungguh-sungguh, memberikan perhatian, mengikuti perkembangan dan membuat penilaian setelah dakwah Fardiyah dilakukan dalam tempoh tertentu.
2. Pelaksana hendaklah mengetahui uslub, kaedah dan pengertian tentang kesemua kaedah atau marhalah ini.
3. Hendaklah dilaksanakan marhalah-marhalah ini dengan secara tertib dan tidak melanggar adab dan batasan.
4. perbincangan dengan pelaksanaan dakwah fardiyah mengenai ketujuh-tujuh marhalah dan perkara yang berkaitan dengannya seperti dalil atau faktor-faktor yang membantu mad’u menerimanya amat baik dilakukan. Ini adalah untuk memudahkan tugas daie ketika berhadapan dengan mad’u.
5. selain daripada menjelaskan kesucian jalan dakwah dan semua tuntutan, usaha perlu dilakukan untuk menghilangkan keraguan dan kesamaran terhadap amal Islami., tuntutan-tunttutannya dan aktivis-aktivisnya juga mesti dilakukan.
6. Berikan contoh kejayaan dan kebaikan bagi mereka yang menyahut seruan dakwah ini dan bahaya serta dosa bagi mereka yang menolaknya.
7. Para daie mestilah sentiasa tolong menolong dan nasihat menasihati sesama mereka dalam menghadapi cabaran dan rintangan.
8. Hadiahkan mad’u dengan buku-buku dan risalah-risalah yang dapat menggalakkan mereka dengan Islam.
9. keberkatan, taufiq dan penghasilan adalah berkadar dengan keikhlasan, kesungguhan, berlapang dada dan kesabaran.
10. dakwah fardiyah dapat mewujudkan hubungan dan ikatan dengan mad’u. Ini berbeza dengan dakwah am seperti majlis ceramah dan majlis ilmu.
11. dakwah fardiyah adalah dakwah yang praktikal; berdasarkan kepada pengalaman dan pemerhatian.
12. Dakwah fardiyah mendorong para daie menjadi contoh teladan yang baik kepada manusia.


Saturday 8 October 2011

RASULULLAH PEMIMPIN YANG TERAGUNG




Pengutusan Rasulullah s.a.w ke dunia merupakan satu rahmat kepada sekelian alam. Baginda bukan sahaja berperanan sebagai seorang rasul tetapi juga sebagai pemimpin negara, ketua keluarga, Imam, ketua angkatan tentera dan sebagainya.

Antara contoh yang boleh kita ambil daripada keperibadian Rasulullah s.a.w ini ialah ciri-ciri kepimpinan beliau yang unggul seperti berilmu dan bertakwa, amanah dan bertanggungjawab, adil dan tegas, sentiasa bertimbangrasa, mengutamakan kepentingan umum terlebih dahulu daripada kepentingan diri sendiri, hidup amat sederhana dan tidak bermewah-mewah.

Ciri-ciri kepimpinan sebeginilah yang menjadikan diri Baginda Rasulullah s.a.w dikasihi oleh Allah dan umatnya, malahan Baginda juga dihormati dan disegani oleh musuh-musuhnya.

Maka atas sebab-sebab ini lah, Allah Taala menggesa kita supaya mencontohi aklhlak dan keperibadian Rasulullah dalam diri kita. Firman Allah :

Yang bermaksud: Sesungguhnya terdapat bagi kamu pada diri Rasulullah s.a.w. (secara keseluruhannya) contoh yang terbaik, bagi mereka yang mengharapkan Allah s.w.t. dan hari akhirat, dan mengingati Allah dengan sebanyaknya. 
(Surah al-Ahzab, ayat 21)

Antara contoh kepimpinan baginda Rasulullah s.a.w yang boleh kita jadikan iktibar dalam kehidupan seharian kita ialah :

Pertama : Rasulullah s.a.w Sebagai Seorang Rasul
Sebagai seorang Rasul, baginda telah menunjukkan contoh yang terbaik dalam berdakwah kepada manusia yang seharusnya menjadi ikutan sekelian umat Islam.

Sifat kesabaran dan ketabahan baginda Ini kita dapat lihat dengan jelas dalam peristiwa dakwah Rasulullah s.a.w di Taif. Di mana Rasulullah telah dilontar dengan batu oleh puak bani Thaqif termasuk kanak-kanak, orang miskin dan juga hamba abdi.

Akan tetapi Rasulullah s.a.w tetap tabah dalam meneruskan dakwah nya dan tidak pernah putus asa menyeru manusia mengikuti perintah Allah.
Berkat sifat cekal dan tabah ini di samping sifat pemaaf baginda terhadap mereka yang pernah memusuhinya, akhirnya agama Islam berkembang sehingga ke seluruh dunia.

Tepat lah sebagaimana yang difirmankan oleh Allah dalam surah Ali Imran, ayat 159:
  
Ertinya : Maka Dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu Wahai Muhammad), Engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah Engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan Yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah Dengan mereka Dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu.

Kedua : Rasulullah s.a.w Sebagai Pemimpin Negara
Rasulullah s.a.w. menunjukkan banyak contoh teladan berhubung soal ini. Sebagai seorang Rasul dan pada masa yang sama sebagai seorang pemimpin dan juga ketua negara, baginda mengamalkan dan menghargai pendapat serta teguran orang-orang bawahan nya, dengan ini secara tidak langsung membuatkan baginda mudah didekati oleh sekelian manusia.

Sebagai ketua negara, baginda tidak segan untuk bergaul dengan rakyat biasa tanpa mengira status sama ada fakir miskin, kanak-kanak atau hamba, Baginda juga sedia memenuhi undangan para sahabat nya termasuk pembantu rumah. Bahkan dalam peperangan Khandak umpamanya, Baginda menyertai sahabat-sahabat untuk menggali parit sehingga tubuh Baginda penuh dengan debu dan tanah.

Beginilah yang sewajarnya keperibadian yang harus dicontohi sebagai seorang pemimpin, tidak kira sama ada sebagai pemimpin rakyat, ketua organisasi, syarikat dan sebagainya.

Bahkan Rasulullah mengajarkan kepada kita sebagai pemimpin, tugas kita bukan hanya memerintah sahaja, tetapi juga  adalah untuk berkhidmat kepada orang lain.
Ini telah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w dalam hadith baginda yang diriwayatkan oleh Ad-Dailami:


Yang bermaksud: Ketua sebuah kaum adalah yang sentiasa berkhidmat untuk mereka.

Ketiga   : Rasulullah s.a.w Sebagai Pemimpin Keluarga
Dalam kehidupan berumahtangga, Rasulullah s.a.w. telah memperlihatkan suatu teladan yang baik yang boleh diikuti oleh seseorang ketua keluarga dalam mengurus rumahtangganya.

Sebagai seorang suami, Rasulullah s.a.w. amat bertimbang rasa dan bersedia membantu keluarganya, banyak kerja yang dilakukan dengan tangannya sendiri, seperti menjahit pakaian, memerah susu kambing dan sebagainya. Baginda juga akan menjamu selera apa sahaja makanan yang telah tersedia.

Di samping itu, Rasulullah s.a.w. juga menunjukkan panduan dan contoh tentang hidup tolong menolong serta perasaan kasih sayang kepada isteri,
Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang berbunyi:

Yang maksudnya: Aisyah r.a. pernah ditanya seorang lelaki yang bernama Aswad tentang apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w ketika dalam rumahnya? Maka Aisyah menjawab: Rasulullah s.a.w sentiasa membantu ahli keluarganya dalam kerja rumah. Dan apabila sudah tiba masuk waktu solat, baginda keluar untuk solat.

Kewujudan Rasulullah s.a.w bukan setakat untuk beristirehat dan bermesra dengan ahli keluarganya sahaja. Bahkan, kewujudan baginda di rumahnya adalah juga untuk membantu isterinya menguruskan rumah tersebut. Ini baginda lakukan walaupun baginda mempunyai banyak tugasan di luar rumah.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekalian,
Demikianlah tadi sepintas lalu mengenai kepimpinan Rasulullah s.a.w untuk menjadi renungan dan iktibar bagi kita bersama. 


Maka renunglah, kita sebagai pemimpin rakyat, keluarga ataupun organisasi, perlu bertanya kepada diri kita sendiri, adakah kepimpinan kita selama ini bersesuaian sebagaimana yang diajarkan oleh baginda Rasulullah s.a.w ? Sedangkan setiap dari kita yang memperolehi kepimpinan akan dipertanggungjawabkan oleh Allah pada hari akhirat kelak.

Marilah sama-sama kita mengingati pesanan Rasulullah s.a.w dalam hadisnya yang mahsyur bermaksud :

"Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu sekalian akan ditanya perihal kepimpinan kamu. Seorang Imam (ketua) adalah pemimpin dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Seorang lelaki pemimpin keluarganya dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Isteri adalah pemimpin dalam rumahtangga suaminya dan dia akan ditanya mengenai tanggungjawab kepimpinannya. Seorang khadam atau pembantu rumah adalah pemimpin harta majikan dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Seorang anak adalah pemimpin harta bapanya dan dia bertanggungjawab mengenai kepimpinannya. Maka setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya mengenai kepimpinannya. "

Wednesday 5 October 2011

MENGINGATI ALLAH ADALAH PENAWAR BAGI HATI

Firman Allah s.w.t:

" Orang-orang yang beriman dan hati merka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah hanya mengingati Allah hati menjadi tenteram"

(Surah Al- Ra' ad: Ayat 28)

   Sebagai hamba Allah s.w.t yang mengaku beriman dan beragama islam, mestilah sentiasa mengingati Allah dan berzikir menyebut nama Nya untuk menjadikan diam kita itu adalah dalam berfikir dan apabila kita berkata-kata adalah kerana berzikir . Ini adalah mengingati Allah itu merupakan ubat penawar yang paling mujarab untuk jiwa dan senjata paling ampuh untuk menghadapi serangan-serangan zaman moden ini, panca roba kehidupan serta asam garamnya. Inilah penawar yang sangat diperlukan oleh manusia zaman kini.



   Pada zaman kini, kebanyakan umat islam menghidapi satu penyakit yang amat bahaya. Apakah penyakit tersebut?. Ia merupakan penyakit hati. Penyakit hati ini adalah bahaya kepada kita beragama islam yang mana akan dapat melumpuhkan dan melemahkan segala amal soleh kita kepada ALLAH s.w.t. Hati ibarat enjin kepada tubuh badan kita. Segala amal ibadah kita dan perbuatan kita lahir dari hati (niat). Penyakit hati ini boleh diubati dengan cara mengingati Allah iaitu zikrullah. Kita juga perlu ikhlaskan niat kita dalam melaksanakan apa jua amal soleh dan ibadat kita kepada Allah s.w.t. Niat yang ikhlas itu lahirnya dari hati yang suci.



Renungan bersama:

Dalam beramal soleh perlunya niat yang ikhlas kepada Allah s.w.t.
Untuk mendapatkan keikhlasan perlunya istiqamah dalam beribadah iaitu amal berterusan.
Istiqamah perlunya mujahadah.

Renung, Fikir dan Amal !